Umrah qadho’ dilakukan pada tahun ketujuh hijrah selepas setahun peristiwa Umrah Hudaibiyyah dan Perjanjian Hudaibiyyah. Rasulullah SAW memasuki kampung halaman yang amat dirindui-Nya bahkan kota yang dirindui oleh semua sahabat dalam keadaan aman dengan hati yang berbunga-bunga. Maklum sahajalah, ibarat sang perantau yang kembali ke desa. Setelah sekian lama desa kesayangan itu ditinggalkan.

Namun dengan pengajaran peristiwa Hudaibiyyah setahun lepas, Rasulullah SAW mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan serangan musyrikin Quraish. Rasulullah saw membawa 60 ekor unta dan 100 ekor kuda bersama dengan rombongan. Malah Rasulullah SAW melantik seorang sahabat Bashir bin Sa’d untuk mengendalikan senjata.Namun demikian, persiapan itu hanya sebagai langkah berjaga-jaga. Hanya untuk persiapan sekiranya ada gangguan daripada musyrikin Quraish.

Rasulullah SAW bersama muslimin masuk ke Mekah dalam keadaan aman dengan pedang yang bersarung. Kebanyakan penduduk Mekah keluar meninggalkan Mekah dan berkhemah di atas-atas bukit kerana benci dengan kehadiran rombongan Rasulullah SAW bersama lebih kurang 2000 orang Islam yang lain. Karenah mereka ini tidak diambil peduli oleh Baginda dan para sahabat. Para sahabat yang memasuki Mekah ketika itu bertalbiah sebaik sahaja melihat Baitullah al Haram. Talbiah yang diselangi dengan alunan takbir ini sangat menyentuh jiwa para sahabat pada ketika itu. Reaksi ini disaksikan oleh sebahagian penduduk Mekah disekitarnya.

Dalam keadaan itu terdengar suara-suara musyrikin Quraish menyebut “Orang Madinah yang demam akan melakukan tawaf (kepanasan madinah akan menyebabkan orang Islam lemah).” Suara-suara ini sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW.

Lantas serta merta baginda mengarahkan muslimin supaya berlari-lari anak pada tiga pusingan awal ketika tawaf sebagai tanda bahawa muslimin kuat dan cergas. Lantas dilaksanakan oleh sekelian muslimin. Mereka berlari-lari anak ketika tawaf pada tiga pusingan pertama tawaf.

Tidak terhenti di situ sahaja. Bahkan Rasulullah SAW sendiri berit’tiba’. Dengan membuka bahu kanannya dan menutup sebelah kiri. Lagak seorang pemuda yg tangkas dan kuat. Aksi Rasulullah SAW diikuti oleh para sahabat. Maka lagak ini memberi makna kuat dan cergas dihadapan musuh.

Demikian menariknya mauqif yang diambil oleh Rasulullah SAW dalam mengajar kita erti kekuatan dan menolak sifat lemah dalam diri. Dalam sedikit cebisan sirah Baginda SAW, tersimpan tarbiyah yang begitu tinggi nilainya.

Tarbiyah ini bukanlah satu rutin mingguan tanpa apa-apa makna. Tetapi tarbiyah yang kita mahu ialah proses yg mampu mengubah sikap daripada lemah kepada kuat, jahil kepada berilmu, pengecut kepada berani dan tahan lasak, kasar kepada santun, jahat kepada baik. Demikianlah tarbiyah yg sepatutnya berperanan dlm mengubah diri kita.

Sabda Rasulullah saw :

” المؤمن القوي خير واحب إلى الله من المؤمن الضعيف”

Maksudnya: Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih Allah sayang berbanding mukmin yang lemah.

Ustazah Siti Umi Kalsom bt Hussin
Biro Tarbiyah Isma Klang.

Advertisements