Bandar Baru Bangi – Kontinjen Kelab Anak Hebat (NAZIM) Klang sekali lagi membawa pulang piala pusingan johan keseluruhan Karnival Sukan Tradisional Zon Tengah yang dilangsungkan pada 7 Mei 2017 yang lalu. Kejayaan ini dirangkul setelah menewaskan 6 pencabar lain iaitu NAZIM Hulu Langat, Subang Jaya, Kajang, Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur.

Kejayaan kali ketiga ini dicapai hasil latihan berterusan yang bermula sebulan sebelum pertandingan. 

“Latihan kami ialah pada setiap hari Sabtu dan Ahad selepas solat Asar di padang berdekatan Masjid Lama An Nawawi Kg. Delak Kanan.” Ujar Ustazah Sazlina Rosli Pengerusi NAZIM Klang. Menurutnya lagi sesi latihan turut dibantu oleh abang Soleh, abang Amar dan rakan-rakan.

Baca juga: NAZIM Klang bertekad pertahankan kejuaraan

“Dengan mengangkat tema ‘Tradisi Membentuk Jatidiri’ diharapkan dapat mendidik generasi muda mengenali akar budaya Melayu yang cukup kaya dan bersejarah. Disamping itu dapat mempromosikan budaya hidup sihat kepada anak-anak ini.” Akhiri Ustazah Sazlina ketika diminta mengulas objektif karnival ini.

Karnival Sukan Tradisional yang kali keempat dianjurkan ini dilangsungkan di Stadium UNITEN Bangi merupakan acara dwitahunan yang mengangkat sukan tradisi seperti baling tin, konda kondi, tarik upih, batu seremban dan lain-lain lagi.

Tahniah diucapkan kepada Kontinjen Klang atas kejayaan ini.

Advertisements