Ayah kita seksi

Beberapa hari yang lalu sewaktu melintasi sekelompok anak- anak perempuan tahun 1 yang sedang galak bersembang, saya ‘tercuri’ dengar isi perbualan mereka yang agak tidak enak di dengar. Saya berpatah kembali ke arah mereka memandangkan rasa ingin tahu yang meluap-meluap setelah terdengar beberapa patah perkataan yang mencurigakan.

Tersengih mereka malu dan ada yang tiba–tiba menerpa dan memegang tangan saya dan mula membuka cerita.

“Cikgu, diorang cerita pasal ayah Nora (bukan nama sebenar). Diorang kata ayah dia seksi. Eeeii..geli,” adu seorang murid yang bersungguh-sungguh mengadu.

“Kenapanya? Apa masalah dengan ayah kamu Nora?” aju saya kepada murid comel dengan wajah ala-ala kacukan arab itu.

“Dia cakap badan ayah dia ada banyak bulu. Dekat sini, dekat sini, dekat sini, “ ulas seorang ahli kumpulan perbincangan tersebut dengan gayanya yang bersungguh-sungguh menunjukkan bahagian badan nya dengan tangan.

“Lepas tu kan cikgu dia kata kalau lepas mandi dia..” Memuncung –muncung murid yang seorang ini bercerita sebelum saya potong ceritanya dan memintanya berhenti bercakap.

“Haip..haip..haip.., cukup. Berhenti. Dah tak perlu sambung,” pintas saya tegas.

Terdiam semua mereka. Terkebil-kebil menanggahkan wajah mereka ke arah saya yang tegak berdiri dengan wajah yang sengaja saya gayakan dengan pandangan yang tegas dan serius.

Nora hanya tersengih-sengih dan serba tak senang duduknya. Saya terus memandang wajah anak- anak ini. Saling tak tumpah seperti puteri saya yang umurnya hampir sebaya mereka. Merendahkan badan dan duduk sebentar bersama mereka bercerita tentang perlunya menjaga kerahsiaan dan aurat ibu dan ayah. Berkongsi panduan apa yang boleh diceritakan dan apa yang tidak boleh dikongsikan dengan rakan-rakan mengenai apa yang berlaku di dalam rumah.

Ini hanya salah satu kisah dari sekian banyak kisah tersebarnya aib rumah tangga dari mulut anak-anak ini disekolah. Jujurnya bagi saya ia saya anggap agak ringan kerana banyak lagi kisah-kisah dalam rumah atau bilik tidur yang meluncur laju keluar dari mulut anak-anak ini. Sama ada dikongsi bersama rakan mahupun kepada guru yang rajin melayan mereka berceloteh.

Kawan,
Pernah tak kita berkongsi perkara ini dengan anak- anak kita yang masih kecil. Tentang perlunya menjaga rahsia rumah tangga dan aurat. Tentang apa yang berlaku dalam rumah yang tidak boleh sama-sekali dikongsikan dengan orang lain.

Mendengar cerita anak-anak ini saya yang juga punya anak seusia mereka berasa bimbang. Kalau-kalau anak saya juga begini. Bercerita tentang itu dan ini perkara yang berlaku di dalam rumah kepada rakan-rakan mereka.

Wahai ibu dan ayah yang budiman,
Peliharalah kerahsiaan rumah tangga dan juga aurat sekalipun di hadapan anak-anak. Jadikanlah bilik tidur sebagai benteng kerahsiaan isu-isu rumah tangga dan juga aurat. Islam meletakkan batasan waktu di mana anak-anak perlu meminta izin untuk masuk ke bilik tidur ayah dan ibu (Selepas Subuh, tengah hari dan selepas solat Isyak). Inilah sebahagian dari sebabnya.

Peliharalah pakaian dan aurat sewaktu berada di hadapan anak-anak kerana ia mungkin menjadi bahan sembang mereka di sekolah.

Peliharalah keburukan suami atau isteri dari diceritakan kepada anak-anak kerana ia boleh menjadi aib kepada mereka bila ia disebar kepada guru-guru dan rakan disekolah oleh anak-anak.

Peliharalah telinga anak- anak kita dari mendengar isu-isu berat rumah tangga agar ia tidak menjadi bahan ejekan rakan-rakan di sekolah apabila ia tersebar.

Saya yakin semua kita sedang berusaha untuk menjadi ayah dan ibu yang baik. Ya ia sukar dan mencabar. Namun tetap bukan sesuatu yang mustahil. Memang sukar memahamkan anak yang berusia 6 atau 7 tahun ini tentang kerahsiaan namun kita sebagai ibu bapalah yang sepatutnya menjaga rahsia tersebut dari diselongkar oleh anak-anak.

Asmadi Abdul Samad
Simpan rahsia berbakul-bakul

#wu

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s