SELAYANG – “Sikap sentiasa bersiap siaga mesti diambil atas dasar kesedaran iman untuk menangkis hasutan tersebut. Manusia yang lalai akan mudah menjadi tunggangan syaitan dan akan terus melakukan kerosakan di atas muka bumi Allah SWT.

“Segala persoalan kehidupan termasuk ujian-ujian rumahtangga, kewangan, kesakitan sekiranya tidak diperhatikan dengan neraca iman, maka kita akan mudah mengikut ajakan syaitan yang boleh menjerumuskan kita kepada kehancuran di akhirat.” Jelas Ustazah Noriah kepada hadirin Usrah Alumni MRSM ketika membincangkan tafsir surah an Nas di sini.

Para hadirin seterusnya dibawa menghayati sebuah hadis yang menjelaskan bahawa setiap diri manusia akan ada pendamping dari kalangan malaikat yang mengajak melakukan kebaikan. Dan pendamping dari kalangan syaitan yang sentiasa mengajak kepada maksiat. Hatta baginda SAW sendiri. Tetapi Allah setiap melindungi Nabi SAW daripada tipu daya dan hasutan syaitan.

“Sesungguhnya surah ini memberi peringatan kepada kita tentang hasutan syaitan yang sentiasa dekat dengan kita.” Jelasnya lagi mengakhiri usrah pada petang itu.

Usrah Umum Wanita ialah siri penyampaian ilmu agama khusus kepada kaum hawa yang berlangsung secara mingguan. Antara bahan yang dibincangkan ialah Syarah Hadis 40 Imam An Nawawi, Fiqh Wanita dan tafsir ayat-ayat pilihan. Diharapkan dengan siri kuliah ini akan dapat meningkatkan lagi kefahaman wanita terhadap agama yang tercinta ini.

Advertisements