Antara keindahan Bulan Ramadhan ialah pada kegembiraan dan kemeriahan ibadah yang terkandung di dalamnya. Kegembiraan sewaktu berbuka bersama, bertarawih bersama, bertilawah dan bertadarus bersama serta qiam dan iktikafnya.

Antara keajaiban bulan Ramadhan ialah di mana dalam bulan ini umat Islam menjadi begitu pemurah. Sumbangan wang serta barang keperluan, infak, sedekah, wakaf seolah-olah menjadi makanan dan minuman yang menghilangkan lapar dan dahaga pada waktu siangnya Ramadhan.

Dengan kegembiraan dan kemeriahan ibadah inilah menyebabkan wujudkan satu kelompok insan yang begitu merindukan kehadiran bulan ini. Semakin mendekat kepada Ramadhan semakin gigih doanya mengharapkan belas ihsan dari Allah agar menyampaikan mereka kepada Ramadhan.

Dan barangkali sekiranya Ramadhan itu boleh berkata-berkata, mungkin ia juga akan berdoa kepada Allah agar kelompok manusia yang merinduinya inilah yang akan bersama-sama dengannya buat mengisi kegembiraan dan kemeriahan ibadah untuknya.

Namun terselit juga kerisauan. Andai Ramadhan mampu berkata-kata, adakah aku akan termasuk dalam kelompok insan yang dirindui dan ditunggu-tunggu oleh Ramadhan?

Adakah namaku akan disebut oleh Ramadhan sebagai orang yang pernah memeriahkannya dan ditunggu -tunggu oleh Ramadhan untuk bertemu semula kali ini. Atau ada pun tidak menambah kebaikan, tiada pun tidak memberikan kesan.

Asmadi Abdul Samad
Tanya sama Ramadhan.

Advertisements