Seorang guru sejarah dari MRSM Beseri, Perlis, sempat menyinggah di bumi Klang. Berkongsi ilmu dan kajiannya dalam sejarah agar bangsa ini tidak dihukum oleh sejarah kerana melupakannya.

Ini program santai biasa-biasa sahaja. Buat bapa-bapa menadah pengalaman mendidik anak. Sebulan sekali para bapa ini berkumpul, mendengar himpunan pengalaman para bapa yang telah berjaya membesarkan anak-anak menjadi insan, berbincang tentang tindakan dan mendapatkan suntikan motivasi untuk terus kental jiwa berhadapan dengan karenah anak-anak.

Bersama Cikgu Zamri kali ini isinya agak luar dari kebiasaan. Bagaimana sejarah mampu menjadi panduan kepada si bapa dalam membentuk kemenjadian anak-anak.

Dibentangkan sejarah bagaimana Tun Perak ditempa oleh ayahnya Bendahara Seri Wak Di raja sehingga mampu menjadi tokoh terulung alam Melayu sebaris Tun Sri Lanang, Patih Aria Gajah Mada dan Raja Kenayan Pasai. Adli Abdullah, seorang pencinta sejarah dari bumi Acheh menyatakan bahawa kemenjadian dan ketokohan Tun Perak bukanlah sekadar usaha satu malam. Namun ketokohannya muncul hasil tempaan sejarah yang mencabarnya dari dalam dan luar dirinya. Dan untuk menghasilkan sosok agung seperti ini, ayahnya juga bukan calang-calang orang sehingga mampu mencipta sejarah.

Ditambah lagi diskusi para bapa hari itu dengan sosok kukuh Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau mesra dengan gelaran HAMKA. Sosok ulama dan pemimpin hebat yang telah menggegarkan bumi Indonesia dan seluruh Alam melayu dengan sinar cahaya Islam. Asalnya seorang anak yang cukup buas dan liar meskipun lahir dalam keluarga ulama. Namun cita-cita kukuh impian Dr Haji Abdul Karim Amrullah, si ayah yang sentiasa menanam cita bahawa HAMKA akan menjadi orang besar yang tidak akan diluput oleh sejarah. Seawal kelahiran HAMKA, si ayah telah mempersiapkan segala keperluan agar anaknya bisa menuruti jejak langkah pejuangnya.

Saat dibentangkan kisah Sultan Murad yang menanam cita kepada puteranya sejak dari zaman kanak-kanak bahawa kamu akan bergelar Al Fateh, sebaik-baik pemimpin yang akan membuka kota Constantinople. Meski dalam kenakalan si putera kecil, citra dan cita si ayah tidak pernah pudar menanam kalimah bahawa kamu sebaik panglima si pembuka kota Constantine.

Ayah-ayah yang budiman;

Kalian bukan sekadar pelayan fitrah anak-anak semata-mata. Kalian merupakan watak utama dalam meletakkan cita-cita, visi dan misi untuk anak-anak. Daripada kalian anak-anak belajar menanam impian dan mencari bekal yang diperlukan untuk mencapai cita-cita tersebut. Kalian juga orang yang kembali meletakkan anak-anak ke atas landasan yang sepatutnya dilalui mereka andai mereka tersasar. Maka tetapkanlah impian buat anakmu. Itulah yang diajar oleh sejarah. Bapa yang mencipta sejarah dengan berkorban diri untuk visi dan misi anaknya akan melahirkan anak-anak yang bakal menulis sejarah agung tentang diri, keluarga, agama dan bangsanya.

Kami akhirnya ditinggalkan dengan satu soalan mudah oleh Cikgu Zamri.

Wahai bapa -bapa sekalian, apakah visi dan misi kalian buat anak-anak kalian?

Ya, seperti mana-mana peperiksaan di dunia ini, soalannya memang mudah, namun memikirkan akan jawapannya membuatkan kami pulang dengan otak yang ligat memikirkan jawapannya.


 

 

 

Asmadi Abdul Samad
Hampir gagal sejarah SPM😅

#wu

Advertisements