“Umi! Berapa Hari Lagi Kita Nak Puasa…?”

Ramadan ini lebih seri dengan kehadiran seorang ibu berjiwa besar. Tarbiah Islamiah yang membekas dalam dirinya menjadikannya seorang wanita yang punya ketersendirian pada cara fikir dan akhlaknya. Pada semangat dan cita citanya. Pada roh dan cara tampil nya… Untuk kita yang bergelar ibu..

Bicara ini untukmu sempena kehadiran bulan barakah ini.

Menjelang Syaaban, sibuknya seorang ibu muslimah tidak seperti wanita lain. Fikirnya sudah mula berkira-kira bajet untuk persiapan keluarga menyambut raya. “Awalnya..” Sapa si suami. Ibu itu terus mendapatkan pakaian-pakaian baru untuk suami dan anak-anak. Menempah baju raya dan membeli keperluan lainnya untuk sambutan hari raya.

Tindakan ini ada rahsianya. Ibu ini tidak mahu Ramadhannya nanti diganggu dengan perkara titik bengik ini. Tidak mahu membazirkan 5-6 jam dengan terperangkap pada kesesakan “shopping” pada hari-hari Ramadhan. 5-6 jam amat besar ertinya pada diri seorang ibu muslimah. Masa itu, boleh habis 4 juzuk al Quran daripada dibazirkan dalam kesesakan ber“shopping” raya.

Seorang isteri dan ibu yang solehah, doanya semakin kuat bila Ramadan semakin hampir.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان.

Suasana ternanti-nanti kehadiran bulan barakah ini hidup di jiwa anak-anaknya juga. Manakan tidak, bila ibu gembira auranya sampai kepada ahli keluarganya. Anak-anak yang masih kecil setiap hari dalam perjalanan ke sekolah sibuk ber“countdown” Ramadhan.

Bila jumlah hari semakin hari semakin sedikit, riak gembira semakin ketara di jiwa anak-anak. Seolah-olah lupa pada lapar dan dahaga yang akan mereka tempuhi sepanjang Ramadhan. Apakah rahsianya? Besarnya peranan seorang ibu dalam mentalqinkan kehebatan Ramadhan sebagai bulan kemeriahan ibadah ke dalam jiwa si anak. Sehingga si anak teruja dan rasa tak sabar nak tunggu Ramadhan.

Seminggu sebelum Ramadhan, seorang isteri dan ibu mukminah sibuk pula mengemas rumah dan menghiasnya. Langsir rumah bertukar yang baru dan bersih. Sawang dan kotoran dibersihkan. Susunan rumah diatur dengan baik sekali. Persis kemeriahan menyambut hari raya di kebanyakan rumah. Seluruh ahli keluarga ceria seperti akan ada satu kemeriahan dan majlis istimewa…

Ibu mukminah menerangkan, kita nak sambut kehadiran Ramadhan seperti generasi sahabat Rasulullah SAW. Mereka gembira dan menzahirkan kegembiraan dengan hiasan rumah yang sederhana tetapi cukup meriah. Rumah yang bersih akan merangsang untuk kita beribadah dan bermunajat sepanjang Ramadhan. Bila rumah kotor, nak cari tempat untuk qiamullail pun tak jumpa… Tak ada “port” yang kondusif untuk munajat.. Sedihnya kita.

Kesempatan Ramadhan dimanfaatkan sebaiknya untuk mendidik sikap terpuji pada diri ahli keluarganya.

Solat berjemaah di masjid dan surau, banyak ma’ani tarbawi di dalamnya. Solat berjemaah di masjid menjadi keutamaan anak-anak lelaki dan suami sebagaimana yang diajarkan nabi. Anak-anak diajar bersilaturrahim dan bersosial bersama pakcik-pakcik dan rakan-rakan masjid. “Duduk hingga imam habis baca doa dan ambil peluang bersalaman dengan jemaah masjid untuk taaruf dan silaturrahim.” Pesan ibu kepada anak-anak lelakinya sebelum pergi menunaikan solat Isyak dan seterusnya bertarawih.

Tabung untuk infaq diletakkan di meja tengah rumah. “Tabungan kita bulan ini untuk saudara Muslimin kita di Palestin ye…” Ujar si ibu selepas meletakkan “Tabung Palestin” di posisi yang sesuai di rumahnya. Untuk ajar anak-anak berinfaq di bulan barakah ini.

Isteri dan ibu mukminah akan merancang untuk menjemput tetamu berbuka puasa di rumah. Ganjarannya hebat! Anak-anak juga akan dapat banyak peluang untuk ditarbiyah sebagaimana yang Rasulullah ajar.

“Pakai pakaian bersih bila ada tetamu.” Ujar ibu. “Salam pak long dan mak long.” ujar ibu lagi. “Tolong umi hidang makanan untuk tetamu”… lagi. “Jangan buka TV masa tetamu datang.. Layan tetamu..bersembang dengan tetamu…” Ujar ibu seterusnya.

Demikian ungkapan demi ungkapan dari mulut seorang ibu mukminah. Tingginya cita-cita si ibu untuk anak-anaknya mengambil qudwah Rasulullah SAW dalam setiap tindak tanduk hidupnya.

Untuk kita wanita yang bergelar gadis, isteri dan ibu…

Ramadhan ini kita banyakkan “beruzlah” di rumah. Sibuk dengan tilawah al Quran dan tadabbur. Kurangkan bersosial sangat kecuali bila ada keperluan. Ada di kalangan kita yang ambil cuti tahun sebulan Ramadhan. Ada pula yang ambil cuti tanpa gaji 10 hari terakhir Ramadhan untuk i’tikaf dan beri fokus pecutan terakhir Ramadhan. Kenapa tidak kita?

Muslimah khususnya, bataskan aktiviti sosial kita untuk menjamin kesejahteraan lidah kita daripada umpat keji, gossip liar dan kata-kata lagha. Kadang-kadang dengan hanya sekali pertemuan, lidah akan tersasul dan terbabas dalam umpat keji dan gossip. Hargai lidah kita di bulan barakah ini.

Contohi generasi sahabat yang mengucapkan “selamat tinggal” antara satu sama lain bila tibanya Ramadhan. “Selamat tinggal” dalam erti kata tidak berlaku acara “sembang-sembang” seperti selalu. Tak sempat. Masing-masing sibuk dengan agenda al Quran dan ibadah sepanjang bulan ini.

Untuk wanita… Serikan Ramadhan ini dengan agenda ibadah. Semoga kita akan mendapat maghfirah Allah SWT.


Salam Ramadhan..
Ustazah Siti Umi Kalsom bt Hussin
Biro tarbiah ISMA klang

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s