Gembira bertemu si ‘dia’

Oleh: Nur Aqilah

Apakah perasaan yang sinonim jika kita bertemu dengan seseorang yang kita sayangi dan kasihi?

Sudah pasti, perasaan gembira, teruja dan tidak sabar bertamu di hati.

Apatah lagi seseorang itu sudah lama kita tidak bersua dan bertanya khabar, pasti senyuman gembira terpancar di wajah tatkala dikhabarkan bakal bertemu dengannya dalam waktu terdekat ini.

Beruntung bukan menjadi ‘seseorang’ itu?

Kedatangannya dinantikan… Kehadirannya dirindukan setiap zaman…

Begitulah keterujaan dan kegembiraan yang dizahirkan oleh Rasulullah s.a.w apabila si ‘dia’ yang dinantikan yakni bulan Ramadhan bakal bertamu.

Senyuman yang terukir di raut wajah baginda sangat jelas terpampang lalu baginda mengumpulkan para sahabat pada akhir bulan Syaaban dan seraya bersabda yang bermaksud:

“Hai manusia, telah tiba kepada kalian bulan agung yg penuh berkat (makanan, waktu dan pendapatan), di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Di dalamnya Allah telah mewajibkan puasa pada kalian dan berdiri menunaikan salat pada malam harinya…” (Sahih Ibnu Hazimah)

Begitu luas rahmat dan kasih sayang Allah kepada umat-Nya sebagaimana yang diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa, Rasulullah saw telah bersabda:

“Apabila datang bulan Ramadhan, maka dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan di belenggu.” (HR Muslim)

Ini merupakan kesempatan yang tidak harus dipersiakan kerana peluang sebegini tidak dapat di bulan-bulan yang lain. Itulah keistimewaan Ramadhan yang ramai orang terlepas pandang dan ambil ringan.

Walhal jika kita hayati dan memaknakan matlamat utama Ramadhan yang bukan sahaja memelihara kewajipan zahiriah, bahkan memelihara kewajipan bathiniyah, insyaAllah kita sedang menuju kepada kesempurnaan ibadah puasa dengan mendapat keampunan dan ganjaran besar yang dijanjikan Allah s.w.t.

Sebagaimana kita teruja menyambut orang yang kita sayangi, begitu juga seharusnya persiapan kita menyambut Ramadhan yang kita kasihi ini. Malah lagi meriah sambutannya kerana ‘tetamu’ ini amat jarang sekali bertamu.

Bagi memberikan ‘layanan’ 5 stars kepada Ramadhan ini, perancangan rapi perlulah disediakan agar waktu bersamanya tidak disia-siakan di samping meraih redha dan keampunan dari Allah s.w.t.

Antara perancangan yang kita perlu persiapkan adalah membuat perancangan bermanfaat yang boleh dicapai. Seperti yang kita selalu ucapkan, ‘Jika kita gagal merancang, kita merancang untuk gagal’.

Hal ini boleh dilakukan dengan menulis setiap perancangan sepanjang Ramadhan ini di atas kertas dan membaca setiap hari supaya masa dapat diaturkan dan membantu kita mencapai ‘goal’ yang ditarget.

Perkara kedua yang perlu dijaga adalah pengurusan masa kerana ia adalah asset yang paling berharga dalam hidup kita.

Elakkan dari melakukan perkara yang tidak bermanfaat seperti melayari internet dan tidur siang hari dalam jangka waktu yang lama, bercakap perkara yang sia-sia atau mengadakan jamuan berbuka yang berlebihan.

Kita akan melihat keindahan Ramadhan dan berasa dekat dengan Allah jika menggunakan setiap saat dengan perkara-perkara yang mendatangkan pahala dan manfaat buat kita.

Jika kita tidak berbuat apa-apa, cari ketenangan dengan berzikir. “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (Ar-Ra’du:28)

Sentiasa ingat bahawa zikir sangat ringan di mulut, namun berat timbangannya di akhirat kelak.

Seterusnya, istiqamah dalam melakukan kebaikan adalah amalan yang paling disukai Allah s.w.t. Walaupun ianya sangat mudah dan ringan dilakukan.

Ramadhan merupakan waktu yang sesuai untuk kita berubah ke arah kesempurnaan peribadi dan amalan.

Lakukan perkara-perkara sunnah mengikut kemampuan yang dirasakan mampu dilakukan secara berterusan sehingga berakhirnya Ramadhan.

Persekitaran juga memainkan peranan penting dalam merancang Ramadhan kali ini lebih bermakna. Sebagai contoh, tumbuhan perlukan sejumlah air dan cahaya matahari yang mencukupi untuk hidup.

Begitu juga dengan manusia. Kita memerlukan persekitaran atau biah yang mendorong kita melakukan kebaikan kerana biah yang soleh memberi impak kepada percambahan iman kita.

Berusaha untuk solat lima waktu di masjid bagi kaum lelaki, menghadiri halaqah Al-Quran atau mencari ilmu baru yang boleh meningkatkan keimanan kita kea rah menjadi mukmin yang sejati.

Usaha lain yang perlu dilakukan di bulan Ramadhan ini adalah pemaksaan diri ke tahap yang tidak kita jangka. Kebolehan yang kita ada jangan diperlekehkan dengan merasakan “Aku tak larat nak bertarawih 21 rakaat malam ni”.

Terkadang amal ibadah perlu dipaksa dalam konteks ingin melatih tubuh badan kita melakukan luar dari kebiasaannya.

Ramadhan ini Allah telah sediakan kepada kita bagi merebut peluang meraih sebanyak mana pahala dan keampunan dari Allah s.w.t.Semakin banyak usaha kita, semakin besar ganjaran yang bakal kita dapat atau tuai di akhirat kelak.

Sebagai seorang Mukmin, Ramadhan haruslah disambut dengan penuh keimanan dan bukan sebagai ‘taukey’ yang giat mempromosi pelbagai jenis barangan dan makanan untuk menyambut Hari Raya atau pelanggan yang melaburkan ratusan wang ringgit sekadar membeli sehelai baju kurung Raya.

Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dari Rasulullah s.a.w, beliau bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala (dari Allah s.w.t) nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” [Sahih Bukhari]

Namun, amat merugikan buat golongan yang membiarkan berlalunya Ramadhan tanpa dosanya diampuni Allah s.w.t seperti mana di dalam satu peristiwa diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW naik ke mimbar lalu bersabda: “Amin, Amin, Amin”.

Para sahabat bertanya: “Kenapa engkau berkata demikian, wahai Rasulullah?”

Kemudian beliau bersabda, “Baru saja Jibril berkata kepadaku: ‘Allah melaknat seorang hamba yang melalui Ramadhan tanpa mendapatkan ampunan”, maka aku katakan, “Amin”.

Kemudian Jibril berkata lagi,“Allah melaknat seorang hamba yang mengetahui kedua orang tuanya masih hidup, namun tidak membuatnya masuk Syurga (kerana tidak berbakti kepada mereka berdua)”, maka aku berkata: “Amin”.

Kemudian Jibril berkata lagi. “Allah melaknat seorang hamba yang tidak berselawat ketika disebut namamu”, maka aku katakan: “Amin”.
[Sahih Al-Mundziri]

Melalui hadith ini jelas menunjukkan betapa malangnya orang yang tidak berusaha merebut pahala dan keampunan dari Allah s.w.t sewaktu di bulan Ramadhan dan membiarkannya berlalu tanpa rasa sekelumit perasaan kesal di jiwa kerana janji Allah itu pasti bagi orang yang benar-benar yakin dan mengimaninya.

Diibaratkan apabila kita sudah bertemu insan yang kita sayangi seperti ibu, ayah, suami atau isteri malah sahabat karib kita sendiri.

Namun jika kita tidak menghargai kewujudannya dengan memalingkan wajah atau tidak memberi perhatian ketika mereka sedang bercakap sudah pasti mereka akan berkecil hati akan perbuatan kita dan akhirnya akan mengurangkan kemesraan di antara kita.

Berkemungkinan mereka juga akan merajuk dengan perbuatan kita. Begitulah analogi kita di bulan Ramadhan.Jika kita tidak bersungguh-sunguh ‘melayani’ Ramadhan, sudah pasti bulan yang mulia ini tawar hati dan merajuk dengan perlakuan kita.

Contohilah Rasulullah s.a.w yang bersungguh-sungguh menyambut kedatangan Ramadhan dengan penuh keterujaan dan kegembiran di samping mempersiapkan amalan sebelum sehingga ke penghabisan bulan yang penuh berkah ini.

Selamat merebut ganjaran kebaikan di bulan pesta ibadah yang bakal tiba!

Salam Ramadhan Kareem…

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s