1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

مَنْ لَمْ يُجْمِعْ الصِّيَامَ قَبْلَ اْلفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

“Barangsiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar, maka tiada baginya puasa itu”. [Riwayat Abu Dawud, Ibnu Khuzaimah, dan Al Baihaqi, dari Hafshah binti Umar]

 

2) Bersahur di akhir malam.

Akhir malam bermaksud waktu sekadar membaca 50 ayat al-Quran secara sederhana sebelum azan subuh. Dalam hadits Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhu dari Zaid bin Tsabit, ia berkata :

 

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيْثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ، قُلْتُ:كَمْ كَانَ بَيْنَ اْلأَذَانِ وَالسُّحُوْرِ؟ قَالَ: قَدْرُ خَمْسِيْنَ آيـة رواه البخاري ومسلم

 

“Kami sahur bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian Beliau pergi untuk solat. Aku (Ibnu Abbas) bertanya: Berapa lama antara adzan dengan sahur? Dia menjawab, Sekitar 50 ayat.” [Riwayat Al Bukhari dan Muslim]

Kelebihan Bersahur :

Nabi SAW bersabda maksudnya:

  1. “Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur” (Muslim, 2/770).
  2. “Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya” ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).
  3. Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).
  4. Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witir dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).
  5. Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang” (Riwayat Al-Bazaar).

5) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; sahih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu Maghrib.

Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر

Ertinya : “Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka” ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.

Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya’la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air” ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)

Sambil membaca doa berbuka yang sahih dari nabi iaitu

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

” Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah”

Ertinya : “Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah ” Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani).

Atau membaca doa-doa makan yang biasa.

8) Amat disunatkan untuk menyedekahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin.

Nabi SAW bersabda:

‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun” ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).

Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa (berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga ” (Riwayat Al-Baihaqi; Ibn Khuzaymah dalam sahihnya: rujuk juga Tuhaftul Ahwazi,)

9) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian.

Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sahih. Boleh juga menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

10) Bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi).

Ia juga sahih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

11) Amaran bagi berbuka di siang Ramadhan tanpa uzur :

Nabi SAW bersabda dalam hadith sahih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : “Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya” ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

12) Qiyam Ramadhan (Solat Terawih) Disyariatkan Dengan Berjamaah.

Dalam melaksanakan qiyam Ramadhan (solat tarawih) disyariatkan berjamaah. Bahkan berjamaah itu lebih utama dibandingkan mengerjakannya sendirian, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah melakukan hal tersebut dan menjelaskan keutamaannya. Tersebut dalam hadits Abu Dzar yang bermaksud:

“Kami berpuasa Ramadhan bersama Rasulullah. Beliau tidak mengimami solat tarawih kami selama bulan itu, kecuali sampai tinggal tujuh hari. Saat itu, Beliau mengimami kami (solat tarawih) sampai berlalu sepertiga malam. Pada hari keenam (tinggal 6 hari), Beliau tidak solat bersama kami. Baru kemudian pada hari kelima (tinggal 5 hari), Beliau mengimami kami (solat tarawih) sampai berlalu separuh malam. Saat itu kami berkata kepada Beliau: ‘Wahai Rasulullah. Sudikah engkau menambah solat pada malam ini’. Beliau menjawab,’Sesungguhnya jika seseorang solat bersama imamnya sampai selesai, niscaya ditulis baginya pahala solat satu malam’. Lalu pada malam keempat (tinggal 4 hari), kembali Beliau tidak mengimami solat kami. Dan pada malam ketiga (tinggal 3 hari), Beliau kumpulkan keluarga dan istri-istrinya serta orang-orang, lalu mengimami kami (pada malam tersebut) sampai kami takut kehilangan kemenangan. Aku (perawi dari Abu Dzar) berkata: Aku bertanya, Apa kemenangan itu?. Beliau (Abu Dzar) menjawab, Sahur.” [HR At Tirmidzi].

Demikianlah solat tarawih atau qiyamu Ramadhan tidak dilaksanakan dengan berjamaah pada masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan masa Abu Bakar, sampai pada masa kekhalifahan Umar bin Khaththab. Rasulullah tidak melakukannya secara berjamaah terus-menerus, sebab Beliau khawatir hal itu akan diwajibkan atas kaum Muslimin, sehingga ummatnya tidak mampu mengerjakannya. Disebutkan dalam hadits Aisyah (dalam Shahihain): “Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam keluar pada suatu malam, lalu solat di masjid, dan beberapa orang ikut solat bersamanya. Pagi harinya, manusia membicarakan hal itu. Maka berkumpullah orang lebih banyak dari mereka, lalu (Rasulullah) solat dan orang-orang tersebut solat bersamanya. Pada keesokan harinya, manusia membicarakan hal itu. Maka pada malam ke tiga, jama’ah semakin banyak, lalu Rasulullah keluar dan solat bersama mereka. Ketika malam ke empat masjid tidak dapat menampung jama’ah (namun Beliau tidak keluar) sehingga Beliau keluar untuk solat Subuh; ketika selesai solat Subuh, Beliau menghadap jama’ah, lalu membaca syahadat dan bersabda: Amma ba’du. Aku sudah mengetahui sikap kalian. Akan tetapi, aku khawatir solat ini diwajibkan kepada kalian, lalu kalian tidak mampu melaksanakannya. Lalu (setelah beberapa waktu) Rasulullah meninggal, dan perkara tersebut tetap dalam keadaan tidak berjamaah”. [HR Al Bukhari dan Muslim].

Jadi, sebab solat ini tidak dilaksanakan secara berjama’ah terus-menerus pada masa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah kekhawatiran beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam kalau-kalau solat ini diwajibkan atas umatnya. Dan sebab ini telah hilang dengan wafatnya beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam. kerana dengan wafatnya beliau bererti agama ini telah disempurnakan oleh Allah Azza wa Jalla, tidak mungkin lagi ada penambahan. Dengan demikian, tinggallah hukum disyariatkannya berjamaah dalam qiyam Ramadhan (baca tarawih) yang hal itu dihidupkan oleh Umar bin al-Khathab pada kekhalifahannya.

Rujukan :
1. Ramadhan: Apa perlu difaham (Dr Zaharudin abdul Rahman).
2. Shifat Shaum Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, oleh Salim Al Hilali dan Ali Hasan.
3. Fatwa Ramadhan.
4. Majmu’ Fatawa Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.
5. Qiyam Ar Ramadhan, Syaikh Muhammad Nashruddin Al Albani.

Hj. Zainuddin Ghafar
Ketua Biro Islamiyat
Isma Cawangan Klang

Advertisements