Beberapa hari lagi umat Islam diseluruh dunia akan sampai ke penghujung bulan Ramadhan al mubarak. Salah satu daripada perkara yang sering berlegar difikiran kita semua adalah ganjaran yang Allah janjikan dengan Lailatul Qadar disalah satu malam daripada 10 malam-malam terakhir Ramadhan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al Qadr 97:3,

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Manakala satu riwayat daripada Saidatina Aisyah r.a. beliau menceritakan:

“Aku bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, jika aku menemui lailatul-Qadar (malam al-Qadar) apakah doa paling baik untuk aku ucapkan?’

Jawab Rasulullah; ‘Kamu bacalah doa (yang bermaksud); “Ya Allah, ya Tuhanku! Sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pemaaf. Engkau suka memaafkan (dosa hamba-hamba-Mu). Maka maafkanlah daku (yakni ampunkanlah dosa-dosaku).” (Riwayat Imam at-Tirmizi).

Inilah di antara visi terpenting yg ingin dicapai oleh kita semua di bulan Ramadhan selain daripada memperolehi ganjaran besar yang Allah janjikan. Semoga kita dapat memanfaatkan dengan berkesan segala peluang dan kesempatan di setiap fasa yang telah kita lalui sepanjang Ramadan kali ini untuk meraih cinta dan kasih sayang Allah SWT.

Dalam usaha kita untuk mencapai visi al Qadar, awal-awal lagi marilah kita perbetulkan niat kita, sucikan dan bersihkan kata-kata hati kecil kita untuk menggapai cinta dan kasih sayang serta keredhaan Allah swt semata-mata. Moga niat yang tulus suci ini menjadi asbab untuk Allah mengganjari kita dengan sebaik-baik ganjaran. Ganjaran yang menjadikan kita hamba Allah yang sentiasa dan benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT sehingga ke akhir hayat kita.

Justeru, menjelang 10 terakhir Ramadhan, pada fasa-fasa awal dan pertengahan madrasah Ramadhan ini, marilah sama-sama:

Kita menjaga kualiti solat fardhu kita, diawal waktu dan secara berjemaah,
Kita menjaga kualiti ibadah puasa kita,
Kita menjaga bacaan dan tadabbur Al Quran kita,
Kita menjaga zikir, doa dan munajat kita kepada Allah swt,
Kita menjaga amalan bersedekah dan membantu kepada yang memerlukan,
Kita menjaga hubungan baik sesama kita dan banyak lagi perkara-perkara sunat yang dianjurkan oleh Nabi SAW termasuklah amalan beriktikaf sebelum, semasa dan selepas berlalunya Ramadhan.

Hendaklah kita sentiasa khusyuk dan berhati-hati dalam melalui fasa-fasa awal madrasah Ramadhan agar tidak berlaku kecuaian yang menyebabkan kita tidak bersedia untuk melalui fasa terakhirnya dengan penuh kesungguhan.

10 malam akhir Ramadan ini adalah fasa pembebasan daripada api neraka dan “puasa itu adalah perisai” yang menghalang pelakunya daripada memasuki neraka dan di 10 malam terakhir ini juga terdapat satu malam yang sangat istimewa iaitu malam al Qadar.

Hadis Riwayat Bukhari yang bermaksud:

“Sesungguhnya amalan-amalan itu terletak pada penghabisannya”.

Bila mana memasuki 10 malam terakhir, kita perhebatkan kualiti dan kesungguhan serta mujahadah kita secara berterusan dengan penuh pengharapan kepada Allah swt agar Allah terima segalanya dan permudahkan kita untuk bertemu dengan tetamu agung Lailatul Qadar.

Bagi mencari malam Lailatul Qadar, antara misi yang terbaik dan paling berjaya adalah dengan kita beriktikaf di rumah-rumah Allah swt. Kita perhebatkan qiamulail kita, zikir kita, bacaan dan tadabbur Al Quran kita dan munajat kita kepada Allah yang Maha Besar dan Maha Agung.

Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Saidatina Aisah r.a:

“Apabila masuk 10 (hari terakhir Ramadhan), Nabi SAW mengikat kainnya (kiasan kesungguhan dan Baginda SAW tidak menggauli isterinya), menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya”.

Daripada Abu Hurairah r.a:

“Nabi SAW beriktikaf selama 10 hari pada setiap kali Ramadhan. Namun, pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari”.

Marilah kita memperbanyakkan iktikaf pada 10 hari-hari dan malam-malam terakhir ini untuk mencari Lailatul Qadar, memelihara puasa kita disiang hari, menyendiri bermunajat kepada Allah SWT, memperbaiki hati kita dengan berada di rumah-rumah Allah SWT, menyemai kecintaan kepada masjid, melatih kesabaran dan mempelajari kezuhudan dengan meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanafaat untuk akhirat bahkan sibuk mengambil bekalan akhirat.

As syahid Syed Qutb pernah menukilkan:

“Tenggelam dalam persekitaran hidup menyebabkan jiwa terbiasa dan terlena dengannya. Jiwa tidak lagi cuba mengubahnya. Sementara mengasingkan diri dan hidup bebas seketika daripada kekangan sekeliling mahupun kesibukan yang remeh temeh, ia melayakkan jiwa untuk melihat realiti yang lebih besar. Ia juga melatih jiwa untuk merasai zatnya yang seimbang tanpa memerlukan campurtangan adat kebiasaan ramai”.

Ya Allah! Berilah aku petunjuk menuju kepada keredhaanMu. Dan janganlah Engkau beri jalan kepada syaitan untuk menguasaiku. Jadikanlah syurga bagiku sebagai tempat tinggal dan peristirehatan dan iktikafku sebagai ribath ku dijalanMu.

Ya Allah! Bukakanlah bagiku pintu-pintu kurniaMu, turunkan untukku berkah-berkah Mu. Berilah kemampuan untuk ku kepada penyebab-penyebab keredhaanMu, dan tempatkanlah aku di dalam syurgaMu yang luas, wahai Allah, penjawab doa orang-orang yang dalam kesempitan.

Akhir sekali terimalah hakikat kefarduan ibadat puasa Ramadan dan ikhlaskan hati dalam melakukannya semata-mata kerana Allah SWT.

Semoga perkongsian ini dapat menambah kekuatan kita dalam menjalani ibadah puasa dengan penuh keinsafan dan kekhusyukkan.

alias2

Alias Awang
Naib Yang Dipertua
Isma Cawangan Klang

Advertisements