KLANG, 3 Jun – Kelab Remaja ISMA Klang telah melancarkan Akademi Remaja KRIM (ARK) 2017 di Pejabat ISMA Klang baru baru ini. Maka bermulalah aktiviti aktiviti bulanan secara berkala yang akan dianjurkan bermula bulan Jun sehinggalah bulan Disember.

“Ramadhan Outreach merupakan aktiviti pertama di dalam Akademi Remaja KRIM (ARK). Melihat akan kecelaruan identiti remaja zaman kini, dengan gejala sosial dan juga media sering kali menampilkan perkara yang negatif pada remaja, maka KRIM mengorak langkah dan berusaha melonjakkan imej positif remaja, dengan melaksanakan Kempen ‘WAJAH GEMILANG REMAJA MALAYSIA’.

“Di Klang kita mensasarkan seramai mungkin remaja untuk bersama kami di dalam Akademi Remaja KRIM (ARK). Terbuka pada pelajar berumur 16 Tahun sehingga 18 Tahun.” Kata En. Mohd Fairul Nafazli selaku Pengarah KRIM Klang.

“Di dalam Akademi kita mengharapkan lahirnya, susuk tubuh remaja yang dapat memberi imej positif tentang remaja samada cemerlang dari sudut akademik, syakhsiah serta ko-kurikulum.” Katanya lagi semasa sesi perasmian Akademi Remaja KRIM.

Seramai 40 orang pelajar daripada pelbagai sekolah di Klang telah menyertai Ramadhan Outreach 2017. Antaranya ialah SMK Telok Datok, SAM Hisamuddin Sg Bertih, SMK Dato Hamzah dan Kolej Vokasional Klang.

Program bermula dengan kata aluan daripada Pengurus Asrama Institut Taufiq Islami, Ust Amirul dan program selepas itu diteruskan dengan Motivasi Santai Ramadhan.

Para Peserta sangat teruja dengan Motivasi Santai Ramadhan yang telah disampaikan oleh Cikgu Asmadi, Pengarah KRIM Nasional. Aktiviti LDK juga sangat memberi impak kepada semua peserta dan anak anak di Institut.

Program pada kali ini ditutup dengan penyerahan sedikit sumbangan dan cenderahati kepada anak anak Institut Taufiq Islam.

“Saya sangat teruja untuk menyertai aktiviti ARK lagi. Aktiviti hari ini memberikan kesedaran kepada saya, jika kita susah sekarang ini sebenarnya ada lagi yang lebih susah daripada kita.” Ujar Izuddin peserta dari KV Klang.

“Saya sangat bersyukur kerana saya dilahirkan dalam Islam,di sini ramai anak anak muallaf yang bersusah payah untuk mencari ilmu dan mengamalkan Islam di dalam kehidupan mereka.” Ujar Redha pula peserta dari SMK Telok Dato.

ARK adalah inisiatif Kelab Remaja ISMA untuk membantu remaja-remaja meledakkan potensi mereka. Sebanyak 10 aktiviti dirancang sepanjang enam bulan yang mencabar para peserta dari aspek-aspek rohani, jasmani, kemahiran dan bakat mereka.