Dalam kebanyakan kes jenayah yang berlaku memang puas hati rasanya bila melihat penjenayah di bawa ke muka pengadilan. Tetapi untuk kes yang ini memang bercampur baur perasaan. Setuju bahawa setiap pesalah kes jenayah memang perlu dihukum dengan hukuman yang setimpal. Dalam masa yang sama sedih dan sayu melihat betapa kudrat dan kekuatan yang ada pada usia ini terpaksa dihabiskan seumur hidup di dalam penjara atau ke tali gantung. 5 daripada yang dituduh ini bakal berdepan hukuman gantung dan seorang lagi kemungkinan dipenjara seumur hidup. Aduhai..kenapalah jalan ini yang kalian pilih?

Kawan,
Marah itu boleh dikawal. Ia hanya tindak balas emosi yang berlaku dalam masa beberapa saat dalam badan kita. Dada yang berombak-ombak marah itu boleh ditenangkan dengan istighfar. Muka yang merah padam itu boleh disejukkan semula dengan wuduk yang sempurna. Darah yang dipam laju ke seluruh anggota itu boleh di perlahankan dengan mengubah posisi badan dari berdiri kepada duduk.

Kawan,
Gajah yang naik minyak mengamuk boleh diredakan kemarahannya. Kuda liar yang menendang buas juga boleh dijinakkan. Masakan kita makhluk yang berakal ini tidak mampu menjatuhkan amarah yang menunggang hati dan perasaan. Bukankah itu hanya meletakkan kita jauh lebih teruk daripada seekor haiwan.

Kau tahu kawan,
Tidak ada satu masalah pun yang boleh diselesaikan dengan cara yang mereka lakukan. Bertindak ganas tidak pernah menjadi solusi kepada suatu masalah pun. Bahkan ia akan sentiasa mencipta masalah baru yang lebih buruk. Kita juga bukan si hakim yang bertanggungjawab menjatuhkan hukuman kepada si pesalah. Bujan algojo si pemancung kepala yang diberi tauliah untuk mencabut nyawa. Kita ini insan. Yang tidak lari dari silap dan salah. Namun disitu tetap ada ruang berbincang dan budi bicara.

Kawan-kawan yang budiman,
Belajarlah mengawal hati dan perasaan. Disitulah letaknya jiwa kita. Jiwa yang hidup dalam erti kata yang sebenar ialah jiwa yang lahir dari hati dan perasaan yang tenang. Dan hanya jiwa yang tenang inilah yang melayakkan kita untuk dijemput ke syurga Allah swt.

Asmadi Abdul Samad
Kelab Remaja Isma
Motivasi, iltizam, jatidiri

#remaja
#ark2017
#selalubersama
#kelabremajaisma

Advertisements