KLANG, 18 Jun – “Kemeriahan sambutan hari raya sepatutnya tidak menenggelamkan anjuran Rasulullah SAW yang meminta umatnya untuk memperbanyakkan ibadah di penghunjung Ramadhan terutamanya 10 hari terakhir.” Jelas Ustazah Haryati Adni dihadapan 60 hadirin yang khusyuk mendengar tazkirah yang disampaikan.

“Alangkah ruginya kita mengabaikan pesanan Rasulullah ini hanya kerana kebiasaan kita untuk persiapan menyambut hari lebaran.

“Marilah kita berazam untuk mengubahnya pada tahun ini dengan mengutamakan ibadah yang sangat dianjurkan iaitu qiamullail dan membaca al Quran.” Tambah Ustazah Haryati lagi.

Tazkirah 20 minit ini disampaikan dengan nada yang santai seusai solat dhuha dan tasbih yang dipimpin oleh Ustazah Noraishah Shahabudin.

“Tujuan kita mengadakan program seumpama ini ialah untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai cara Rasulullah SAW beribadah dipenghujung Ramadhan disamping mengambil peluang untuk mendekati masyarakat di sini.” Ujar Puan Norazila Ibrahim selaku pengarah program apabila ditanya mengenai objektif program ini.

Program Munajat Ramadhan adalah anjuran bersama Wanita ISMA Klang dan AJK Muslimat Masjid Lama An Nawawi. Pada penghujung program turut berlangsung penyampaian sumbangan ‘Bakul Kasih Ramadhan’ kepada penduduk sekitar yang memerlukan.

Advertisements