Rumah arwah datuk dan nenekku suatu ketika dahulu terletak di kawasan yang agak pedalaman. Tidak dapat dihubungi dengan jalan raya melainkan keretapi atau menaiki bot menyusur sungai Lipis dan Sungai Jelai.

Hujung tahun 80an masih menempuh malam dengan api pelita atau lampu minyak minyak tanah bagi yang mampu memilikinya. Belum ada eletrik. Jalan kampung berbatu lada yang kalau musim matahari terik memancar akan menaikkan debu-debu merah yang menyesakkan hidung serta memedihkan mata.

Hari-hari biasa kampung ini begitu sunyi. Jarang kelihatan kelibat anak-anak muda berkumpul melepak di mana-mana simpang atau kedai. Yang sedikit meriah hanyalah pada waktu mendekat ke tengahari di kedai-kedai tempat menimbang getah.

Di situlah berkumpulnya orang-orang kampung bersama guni-guni getah atau kepingan-kepingan empat segi getah yang digelek leper siap untuk di jual. Rancak lah seketika suasana disitu dengan suara riuh rendah mereka seiring dengan bau getah yang cukup menyengat. Bagi kami itu bau duit. Sebusuk mana pun ia, tetap wangi di dalam uncang rezeki orang-orang disini. Duit itulah yang menyara kehidupan mereka.

Namun rutin dan suasana ini berubah setiap kali musim perayaan. Stesen keretapi dihadapan Bukit Tahi Besi yang berbalam-balam dan selalunya lengang itu seakan-akan menjadi tapak pesta. Masing-masing menunggu dengan penuh sabar gerabak-garabak empat segi berasap hitam tebal itu membawa pulang zuriat dan keturunan mereka yang berhijrah keluar mencari rezeki.

Musim-musim perayaan ini gerabak-gerabak itu muntah dengan limpahan manusia. Setiap gerabak yang ditarik sang perkasa lokomotif itu sarat dengan manusia. Entah dari mana datangnya semuanya berhimpit dalam kotak empat segi itu. Tidak muat di dalam sehingga dibumbungnya juga penuh dengan lelaki-lelaki muda yang berani duduk diruang tinggi dan terbuka itu. Sudah pasti tanpa perlu membayar tiket kerana tidak ada pegawai pengutip tiket yang sanggup memanjat ke atas bumbung itu untuk mengutipnya.

Kami sekeluarga juga begitu. Tidak melepaskan peluang berhimpit dan bersesak dalam gerabak sendat itu. Seawal 4 pagi menunggu keretapi yang jamnya selalu rosak itu dengan sabar. Dan selalunya mendekat ke jam 7 barulah kelibat keretapi muncul. Tersasar 2 jam dari waktu asal yang sepatutnya. Biasa pada waktu itu.

Namun yang luar biasa pada waktu itu ialah adab penumpang-penumpang di dalamnya. Dalam sesaknya manusia yang bergasak untuk masuk ke dalam gerabak-gerabak keretapi itu tolak ansur tetap hidup. Anak-anak muda meskipun berambut panjang dengan imej rockers seluar cikangnya tetap mendahulukan makcik-makcik tua dan anak-anak kecil. Barang-barang dan guni-guni barang yang sekian banyak selalunya dibantu punggah masuk ke dalam keretapi. Tak lepas ikut pintu ikut tingkap disorongnya. Bahkan selalunya anak-anak yang berusia 5 atau 6 tahun ke bawah ini dijulang mereka diangkat masuk melalui tingkap-tingkap keretapi.

Diamlah anak-anak di dalamnya dijaga penumpang-penumpang lain sementara menunggu ibu ayah masing-masing masuk ke dalam tren. Tidak mengenali antara satu sama lain tetapi adab dan semangat kekitaan membuatkan mereka senang membantu dan bertanggunjawab.

Dek kerana itulah selalunya yang muda-muda dan gagah perkasa ini tempat duduknya di atas bumbung keretapi kerana gerabaknya telah penuh dengan orang-orang tua dan kanak-kanak yang mereka dahulukan.

Dan suasana mesra dan tolak ansur ini terus dan tetap hidup ketika di dalam gerabak yang padat itu. Yang masih kuat memberikan tempat duduk kepada anak kecil dan yang lebih tua. Wanita-wanita selalunya mendapat keutamaan untuk duduk. Tuan punya beg pakaian atau barangan tidak berkira-kira menawarkan orang untuk duduk diatas beg atau guni-guni barangan mereka. Duduk sahajalah katanya. Jauh lagi perjalanannya.

Dan kebiasaannya memang keretapi akan bergerak dengan amat perlahan. Mungkin kerana bimbangkan keselamatan mereka yang berada di atas bumbung keretapi. Kerana adab, tolak ansur dan rasa tanggungjawab ini membuatkan beban perjalanan yang jauh, panjang dan sesak ini terasa ringan dan tidak terlalu memeritkan.

Sahabat-sahabat yang budiman,

Zaman berubah. Namun suasana tetap sama. Balik kampung pada musim perayaan tetap meriah. Semeriah lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Cuma keadaan kita sudah jauh berbeza. Masing-masing sudah berkereta menjadikan jalan raya cukup sesak dan padat. Adakalanya tidak bergerak. Namun syukur, kita masih punya sedikit ruang keselesaan dalam kotak empat segi masing-masing dengan bau haruman penyegar udara masing-masing. Diiring lagu-lagu raya atau alunan ayat suci al Quran yang kita pasang dalam radio-radio kenderaan kita.

Bukan semata-mata bunyi kipas usang yang berkeriut-keriut penat berpusing di dalam gerabak keretapi. Tiada lagi bau rebung, ayam hidup atau tempoyak bungkus yang meruap dalam bahang panas gerabak keretapi.

Maka dengan sedikit keselesaan yang kita ada ini kita hidupkanlah semula adab, tolak ansur dan rasa tanggungjawab yang suatu ketika dahulu menjadi identiti orang kita.

Beradablah di jalan raya. Kalau orang muda dulu-dulu meskipun rock kapak berambut panjang mampu mendahulukan orang lain kenapa kita yang tua dan muda beriman sekarang tergesa-gesa memotong barisan menggunakan lorong kecemasan. Sedangkan kita berada dalam kotak selesa kita sendiri. Bukan di atas bumbung-bumbung keretapi seperti mereka.

Bertolak ansurlah di atas jalan raya. Tidak perlu menunjukkan keras kepala di atas jalan raya. Semua orang ingin pulang ke kampung masing-masing. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri sehingga mengakibatkan kemalangan kepada orang lain. Jalan raya bukan hutan rimba yang selalu memenangkan yang kuat. Sering berlaku yang kononnya kuat ini akhirnya menjadi musibat atau ditimpa musibah. Adakah kita sanggup menjadi pembunuh semata-mata ingin cepat sampai ke kampung halaman kita. Nauzubillahi min zalik.

Begitu juga sewaktu berhenti di RnR atau mana-mana kawasan rehat. Tingkatkan rasa tanggungjawab kita. Gunakan kemudahan yang disediakan dengan penuh tanggungjawab.

Dan paling perlu diingat tangan kita yang memegang stereng itu punyai tanggungjawab terhadap keselamatan ahli keluarga kita dan juga penumpang-penumpang lain di jalan raya. Maka demi tanggungjawab ini, bukahkah ini masanya untuk kita buktikan bahawa kita masih punya adab dan nilai yang baik di jalanraya.

Orang dulu belajarnya tak tinggi namun masih mampu menghidupkan adab dan rasa tanggunjawab. Hari ini rata-rata kita berpeluang belajar tinggi-tinggi, maka janganlah jalan raya dijadikan tempat untuk menjatuhkan maruah dan ketinggian akhlak dan budi pekerti kita.

Selamat kembali ke kampung halaman. Jangan lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah swt agar dikurniakan keselamatan sepanjaang perjalanan pulang sahabat-sahabat semua ke kampung halaman. Semoga kepulangan kita disambut dengan keriangan dan kegembiraan bukan dengan tangisan sedih dan ratapan pilu kehilangan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang membaca tulisan ini.



Asmadi Abdul Samad

Tukang sopir
#wu
#pesancikgu
#balikkampung
#raya

Advertisements