200 sertai Karnival Sukan Tradisional Nazim Klang

KLANG, 20 Oktober – Karnival Sukan Tradisional Nazim Klang mendapat sambutan hangat dengan seramai 200 kanak-kanak dari daerah Banting hingga ke Puncak Alam telah menyertai karnival ini.

Kelab Anak-Anak Hebat Malaysia (NAZIM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Klang telah menganjurkan Karnival Sukan Tradisional untuk memberi pendedahan kepada generasi muda terutamanya kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Meru, Sabtu lalu.

Karnival ini dianjurkan bagi meneruskan dan mengekalkan tradisi sukan rakyat.

Pelbagai jenis permainan tradisional seperti tarik upih, baling tin, galah panjang, kasut gergasi, susun batu bata, lari dalam guni dan tarik tali telah diperkenalkan kepada para peserta.

Perasmian telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Daerah Klang (ISMA Klang), Ustaz Sulaiman Bin Md Nor.

Rata-rata peserta berasa teruja dengan permainan tradisional yang mencabar minda, fizikal, dan semangat berkumpulan.

“Tak sabar nak tunggu Karnival Nazim tahun hadapan. Banyak pertandingan menarik di sini,” ujar adik Alya Maisarah binti Mohd Muzamri, 8 tahun.

“Tahun ini kali kedua saya masuk pertandingan NAZIM. Alhamdulillah dapat pengalaman baru lagi,” kata adik Nuraliyah Athira Binti Che Haslan, 11 tahun.

Karnival Sukan Tradisional NAZIM merupakan program dwi tahunan yang bertujuan untuk mengangkat sukan tradisional Melayu yang semakin dilupakan sekaligus meningkatkan semangat dan jatidiri Melayu Muslim dikalangan generasi muda.

Tinggalkan komen